30 May 2005

Takwil al-Quran: Tambah nikmat setiap kali bersyukur

Bersama Prof Madya Dr Abdul Rashid Ahmad

SESUNGGUHNYA, nikmat Allah swt kepada kita sebagai manusia tidak terhitung banyaknya. Justeru itu, Allah Taala menegaskan: “Dan (ingatlah) tatkala Tuhan-mu memaklumkan: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” – Surah Ibrahim, ayat 7.


Dalam satu lagi ayat, Allah berfirman bermaksud: “Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menentukan jumlahnya.” – Surah al-Nahl, ayat 18.

Ia termasuklah nikmat iman, akal fikiran, pendengaran, penglihatan, kesihatan, anak-pinak dan harta benda, malah setiap sel yang terdapat dalam tubuh badan manusia adalah nikmat-nikmat Allah yang tidak terhitung.

Pernah diceritakan bahawa ada seorang miskin datang mengadu kepada salah seorang ulama tentang kemiskinannya. Seolah-olah Allah tidak memberi kepadanya sebarang nikmat pun. Lantas ulama tadi berkata kepadanya: Mahukah anda menjual penglihatan anda dengan harga seratus ribu? Jawabnya: tidak. Tanyanya lagi: Mahukah anda menjual pendengaran anda dengan harga seratus ribu ? Jawabnya: tidak.

Lalu ia terus bertanya: “Mahukah anda menjual dua tangan anda dengan harga seratus ribu? Dua kaki anda dengan harga seratus ribu? Akal fikiran anda dengan harga seratus ribu? Semuanya dijawab : Tidak. Kemudian berkatalah ulama tadi kepadanya: Tadi anda mengadu kemiskinan sedangkan anda memiliki beratus-ratus ribu!!!

Dengan demikian sedarlah orang tadi bahawa nikmat-nikmat yang selain daripada harta benda jauh lebih banyak dan besar daripada nikmat harta.

Sebenarnya segala nikmat itu juga adalah ujian daripada Allah Taala, bukanlah suatu kemuliaan dan kebanggaan. Sekiranya nikmat itu suatu kemuliaan, tentulah Rasul Allah tergolong dalam orang-orang yang paling kaya dan banyak harta di dunia dan sebaliknya orang-orang kafir ingkar kepada Allah pasti tidak memperoleh sedikitpun kekayaan dunia ini.

Sebagai contoh, umpama seorang guru memberi kepada setiap orang pelajarnya sebuah buku. Sebahagian daripada mereka buku yang besar, sebahagian mereka buku yang sederhana dan sebahagian yang lain buku yang kecil. Maka seronoklah mereka yang mendapat buku yang besar, bersedihlah mereka yang dapat buku yang kecil.

Setelah selesai pembahagian dibuat, lalu guru tadi berkata kepada pelajar-pelajarnya: Wahai pelajar, nanti akan diadakan ujian terhadap setiap orang pelajar pada buku yang diberikan kepadanya tadi. Lalu bergembiralah pelajar yang mendapat buku yang kecil dan pelajar-pelajar yang lain juga masing-masing mengharapkan supaya buku mereka juga kecil. Demikianlah perbandingan segala nikmat dunia. Semuanya akan disoal siasat oleh Allah Taala di akhirat nanti.

Jalan untuk berjaya dalam ujian ini hanyalah dengan bersyukur terhadap segala nikmat yang dimiliki. Syukur itu ada beberapa bahagian iaitu: Pertama, syukur dengan hati, kedua syukur dengan lidah dan ketiga, syukur dengan amal perbuatan. Syukur dengan hati ialah dengan keyakinan dan kesedaran hati bahawa segala nikmat itu datang hanya daripada Allah, tiada sekutu bagi-Nya. Sebagaimana firman-Nya bermaksud: “Dan apa saja nikmat yang ada pada kamu, maka dari Allah-lah (datangnya).” – Surah al-Nahl, ayat 53.

Kedua, syukur dengan lidah iaitu dengan banyak mengucapkan kata-kata (Alhamdulillah) dan menyebut-nyebut tentang nikmat Allah yang diperolehnya serta berhati-hati jangan sampai hati menjadi riak. Malah dengan tujuan menjadi teladan kepada orang lain dalam hal kebaikan. Antara syukur dengan lidah juga ialah segala ucapan yang baik seperti berzikir, membaca al-Qur’an, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah daripada kejahatan, mengajar ilmu dan lain-lain seumpamanya.

Ketiga, syukur dengan amal perbuatan. Syukur dengan perbuatan ini berbeza-beza antara satu nikmat dengan satu nikmat yang lain. Nikmat hidayah syukurnya hendaklah dengan mengajak manusia kepadanya dengan penuh tenaga yang ada. Nikmat akal fikiran syukurnya hendaklah dengan belajar dan mengajar.

Nikmat tubuh badan yang kuat hendaklah digunakan dalam membantu perjuangan umat Islam bila diperlukan. Nikmat harta pula hendaklah dengan membelanjakannya pada jalan Allah. Ringkasnya syukur secara amali ini ialah dengan mempergunakan segala nikmat itu dalam mentaati Allah dan tidak memaksiati-Nya.

Syukurlah satu-satunya jalan untuk mencapai kejayaan dalam menempuh ujian nikmat Allah di dunia ini. Kerana dengan bersyukur, nikmat akan ditambah berlipat ganda pula. Itulah inti pati maksud ayat yang dibentangkan di atas.

0 Comments:

Post a Comment

Links to this post:

Create a Link

<< Home